Saturday, January 31, 2009

KOMPETENSI KEUSAHAWANAN

Maksud Kompetensi Keusahawanan

Kompetensi keusahawanan bermaksud kemampuan atau kecekapan seseorang untuk melaksanakan fungsi-fungsi keusahawanan dengan berkesan. Kompetensi atau keterampilan diri keusahawanan dimiliki melalui amalan-amalan perilaku hasil daripada pengaruh nilai-nilai hidup seseorang, sikap atau desakan dalaman untuk melakukan tugas dengan cemerlang. Melalui kompetensi keusahawanan, seseorang akan lebih mampu dan lebih cekap berbanding dengan orang lain yang mempunyai pengetahuan dan kelulusan yang sama.

Terdapat pelbagai jenis kompetensi yang boleh dikaitkan dengan usahawan. Walau bagaimana pun, hasil kajian Mc Clelland dan Mc Ber & Co. (1985) terhadap usahawan yang berjaya di Malawi, India dan Ecuador, mereka telah menyenaraikan tiga belas jenis kompetensi keusahawanan diri yang membantu kejayaan usahawan-usahawan ini.

Senarai Kompetensi Keusahawanan

1. Inisiatif

Seseorang yang berinisiatif adalah individu yang
• membuat sesuatu kerja atau tugas tanpa diarah atau dipaksa.
• mempunyai sikap proaktif
• giat berusaha untuk membangun dan menjayakan perniagaannya.

Dengan memiliki kompetensi ini usahawan mampu lebih maju. Di peringkat pra permulaan sesuatu perniagaan, sikap inisiatif membolehkan usahawan berusaha mencari peluang, mengambil tindakan awal menyediakan keperluan untuk memulakan dan menerokai bidang-bidang yang mungkin belum diterokai lagi.

2. Melihat dan merebut peluang

Sikap usahawan yang mempunyai daya melihat dan merebut peluang
• mempunyai kecekapan mencari dan mengenal pasti peluang perniagaan yang wujud
• berkemampuan untuk merebut peluang samada untuk memperluaskan pasaran, mendapatkan bantuan bagi kepentingan perniagaan dan lain-lain

Kompetensi ini menjadi faktor penting untuk kejayaan dan daya tahan perniagaan. Kemampuan ini akan membantu usahawan di peringkat memulakan perniagaan dan membolehkan hayat perniagaan yang berpanjangan.

3. Kecekalan

Sikap cekal dan tabah dapat dilihat melalui tindakan usahawan seperti berikut:
• tidak merasa jemu mencari jalan untuk mencapai matlamat tanpa mengalah.
• Sentiasa berusaha untuk mengatasi halangan yang boleh menyekat pencapaian matlamat

Usahawan sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko dan permasalahan. Contohnya harga bahan mentah meningkat dengan tiba-tiba, pekerja tidak amanah, permintaan barang yang menurun dan lain-lain lagi. Orang yang cekal tidak jemu berusaha untuk mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dihadapinya dan sanggup bangun semula walau
pun pernah mengalami kegagalan.


4. Mencari maklumat

Sikap individu yang mampu mencari maklumat adalah:
• melakukan penyelidikan atau tinjauan sendiri untuk mendapat maklumat dan maklum balas bagi menyediakan barang atau perkhidmatan yang dapat memenuhi kepuasan pelanggan
• mendapatkan khidmat pakar untuk kemajuan perniagaan
• membuat kajian pasaran dan membuat analisisnya

Untuk berjaya, usahawan perlu mempunyai maklumat yang betul dan terkini. Usahawan perlu ada kemahiran mendapatkan maklumat yang betul daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai. Maklumat dan maklum balas yang diperolehi akan dapat digunakan untuk meningkatkan pengalaman, memperbaiki pencapaian dan prestasi perniagaan yang diterajui.

5. Menitik beratkan mutu kerja yang tinggi

Sikap individu yang menitik beratkan mutu kerja yang tinggi adalah:
• Cenderung untuk menghasilkan atau menjual barangan yang bermutu tinggi
• Sentiasa membuat perbandingan mutu kerja yang dihasilkan dengan mutu kerja orang lain supaya setanding atau berada di peringkat yang lebih baik.
• Tidak semata-mata ingin menyelesaikan sesuatu tugas sahaja tetapi akan menyelesaikan tugas itu dengan cemerlang dan bermutu .

Hasil kerja yang bermutu tinggi dapat menjamin kepuasan pelanggan dan ini akan dapat meluaskan pasaran serta meningkatkan imej usahawan dan perniagaan. Dengan ini, usahawan berpeluang untuk berjaya.

6. Komitmen terhadap perjanjian kerja

Sikap usahawan yang mempunyai kompetensi ini dapat dilihat dengan:
• kesanggupan melakukan pengorbanan peribadi untuk menyelesaikan sesuatu kerja
• mengambil tanggung jawab sepenuhnya dalam menyelesaikan sesuatu kerja
• kesanggupan membantu kakitangan demi untuk menyelesaikan tugas dan memberi kepuasan kepada pelanggan
• menunjukkan sikap mengambil berat untuk memuaskan kehendak pelanggan
• sentiasa memastikan setiap janji yang dibuat khususnya dengan pelanggan, pembekal dan lain-lain pihak ditunaikan seperti yang telah dipersetujui .

Sikap ini akan membolehkan orang lain percayakannya dan ini membantu meningkatkan imej usahawan dan perniagaannya. Kepercayaan pelanggan, pembekal, pihak institusi kewangan adalah kunci kepada kestabilan dan kemajuan perniagaan.


7. Berorientasi ke arah kecekapan

Sikap individu yang berorientasi ke arah kecekapan adalah:
• sentiasa mencari jalan melakukan sesuatu dengan kos yang lebih rendah atau dengan masa yang lebih singkat daripada kebiasaannya
• sentiasa mengambil berat tentang perkiraan kos dan keuntungan dari sesuatu pembaharuan, perubahan atau sesuatu tindakan.
• Menggunakan maklumat-maklumat perniagaan atau kaedah pengurusan untuk meningkatkan kecekapan diri dan perniagaan.
Kecekapan perniagaan akan dapat meningkatkan keuntungan dan menurangkan pembaziran dan kos. Ini akan membantu kejayaan perniagaan

8. Membuat perancangan yang sistematik

Sikap individu yang membuat perancangan yang sistematik:
• membuat perancangan dan mengatur langkah-langkah dan membahagikan tugas-tugas yang besar kepada yang lebih kecil dan mudah
• membuat rancangan untuk mengatasi halangan yang dijangkakan
• membuat penilaian dan memilih alternatif-alternatif terbaik untuk sesuatu tindakan
• mengambil pendekatan yang sistematik dan logikal untuk mencapai matlamat

Usahawan yang membuat perancangan yang sistematik akan dapat meningkatkan prestasi dan pencapaian matlamat perniagaan.

9. Menyelesaikan masalah secara kreatif

Sikap individu yang mempunyai kemampuan menyelesaikan masalah adalah:
• mencari langkah-langkah yang bijak supaya masalah dapat diatasi dengan sebaik mungkin
• mencari dan melahirkan idea-idea baru atau cara penyelesaian secara inovatif

Seseorang usahawan sentiasa berhadapan dengan pelbagai ketidakpastian yang mungkin mendatangkan masalah kepada perniagaan yang sedang dijalankan. Semua masalah ini perlu ditangani secara kreatif. Sebagai contoh, usahawan yang sedang berhadapan dengan kadar pusing ganti pekerja yang tinggi perlu mampu menangani masalah ini dengan sebaik mungkin sekiranya punca masalah itu diketahui seperti masalah gaji pekerja, hal kebajikan pekerja, dan lain-lain. Tindakan yang diambil akan dapat menyelesaikan masalah dan mampu mewujudkan kesetiaan pekerja kepada perniagaan.

10. Yakin terhadap keupayaan diri

Individu yang bersikap yakin terhadap diri:
• mempunyai kepercayaan terhadap kebolehan dan kemampuan diri untuk mendapat apa yang dihajati.
• melahirkan perasaan yakin terhadap kemampuan dalam menyelesaikana sesuatu tugas atau menyahut sesuatu cabaran.
• boleh membuat keputusan tanpa ragu-ragu.
• banyak membaca dan mengumpul pengalaman terutama dalam bidang-bidang di luar bidang pengkhususan.
• tidak takut mencuba dan tidak takut gagal

Sikap yakin terhadap keupayaan diri akan membantu kejayaan perniagaan kerana sikap ini akan mewujudkan keyakinan orang lain kepada usahawan dan perniagaan.

11. Ketegasan

Sikap tegas dapat dilihat melalui tindakan-tindakan seperti berikut:
• berani menyuarakan pendapat atau idea kepada orang lain secara langsung
• berani mengambil tindakan walaupun terpaksa menghadapi tentangan daripada pihak lain.

Sifat tegas usahawan akan dapat menjamin pengawalan organisasi dengan baik. Ini adalah disebabkan ia dapat menjelaskan sesuatu masalah kepada orang yang terlibat supaya masalah sedemikian tidak berulang atau menular. Contohnya, masalah pekerja yang curi tulang atau ponteng kerja sekiranya diambil tindakan boleh menyebabkan pekerja lain tidak berani melakukannya.

12. Meyakinkan orang lain

Sikap individu yang dapat meyakinkan orang lain adalah:
• mampu menonjolkan diri untuk meyakini pelanggan membeli barang atau perkhidmatan yang diperniagakan.
• mampu menonjolkan kemahiran diri dan lain-lain kualiti
• bermaklumat dan berpengalaman

Usahawan perlu berurusan dengan pelbagai pihak. Untuk menjamin urusan perniagaan berjalan dengan lancar, ia hendaklah dapat menyakinkan pelbagai pihak yang berkepentingan kepada perniagaannya seperti kakitangan, pelanggan, pembekal, institusi kewangan dan sebagainya. Untuk dapat meyakinkan orang lain, usahawan perlu terlebih dahulu yakin kepada kemampuan sendiri.


13. Menggunakan strategi pengaruh

Sikap individu yang menggunakan strategi pengaruh adalah:
• cenderung memikirkan strategi-strategi yang boleh mempengaruhi orang lain tanpa tipu helah untuk sesuatu matlamat perniagaan.

Usahawan adalah pemimpin di dalam syarikatnya. Sebagai pemimpin, usahawan perlu mampu mempengaruhi pekerja-pekerja, dan industri yang diceburi supaya ia dapat mencapai matlamat perniagaannya.Terdapat lima asas pengaruh yang boleh digunakan;
• Pengaruh berdasarkan kuasa mutlak
• Pengaruh berdasarkan kuasa menghukum
• Pengaruh berdasarkan kuasa memberi ganjaran
• Pengaruh berdasarkan kuasa kepakaran
• Pengaruh berdasarkan kuasa memberi teladan
Usahawan perlu memiliki salah satu daripada sumber kuasa atau kombinasi sumber-sumber ini sebagai strategi pengaruhnya terhadap pelanggan, pekerja dan keseluruhan industri dan pasaran yang terlibat dengannya.

6 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian ilmu, sangat-sangat membantu saya membuat kajian . :)

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas perkongsian ilmu, sangat-sangat membantu saya membuat kajian . :)

    ReplyDelete
  3. Saya ingin berkongsi kesaksian mengenai bagaimana perkhidmatan pendanaan Le_Meridian membantu saya dengan pinjaman sebanyak 2,000,000.00 USD untuk membiayai projek ladang ganja saya, saya sangat berterima kasih dan saya berjanji untuk berkongsi syarikat pembiayaan ini kepada sesiapa yang mencari jalan untuk mengembangkan perniagaannya project.the syarikat adalah syarikat pembiayaan. Sesiapa yang mencari sokongan kewangan perlu menghubungi mereka di lfdsloans@outlook.com Atau lfdsloans@lemeridianfds.com Encik Benjamin juga pada WhatsApp 1-989-394-3740 untuk membuat perkara mudah bagi mana-mana pemohon.

    ReplyDelete