Saturday, January 31, 2009

DEFINISI USAHAWAN.

Perkataan usahawan mula diperkenalkan dalam tahun 1970 iaitu semasa pelancaran Dasar Ekonomi Baru. Ianya bukanlah satu perkara yang baru kepada kita. Pada masa zaman Melayu Melaka, mereka yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan dipanggil sebagaipedagangmanakala pada tahun 1900an mereka dikenali sebagai peniaga.
Perkataan usahawan mempunyai erti yang sama dengan perkataan Inggeris ‘entrepreneur’. Perkataan ‘entrepreneur’ berasal dari perkataan Perancis, ‘entreprendre’ yang bererti memikul tugas atau tanggungjawab. Perkataan ‘entrepreneur’ telah digunakan semenjak tahun 1775 oleh Richard Cantillon yang merujuk kepada kegiatan dalam keusahawanan.
Banyak kajian telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan beberapa pengertian kepada perkataan usahawan telah diberikan seperti berikut:-

1. Kamus Dewan Edisi Baru mentakrifkan usahawan sebagai orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan iaitu pengusaha. Pengusaha dimaksudkan sebagai pekerjaan secara besar-besaran untuk membuat barang-barang industri atau pekerjaan berniaga secara besar-besaran.

2. The Encyclopedia Americana International Edition memberi maksud usahawan sebagai ahli perniagaan yang mengambil risiko menggabungkan faktor pengeluaran termasuk modal, buruh, bahan dan menerima ganjaran melalui keuntungan daripada nilai pasaran barangannya.

3. Joseph A.Schumpeter, seorang ahli ekonomi menyatakan usahawan adalah seorang inovator yang boleh mengakibatkan kepada suatu pembaharuan.

4. Webster’s Third New International Dictionary pula mentakrifkan usahawan sebagai orang yang mengurus suatu kegiatan ekonomi terutamanya mengelola, memiliki, mengurus dan menanggung risiko sesuatu perniagaan.

5. Carland (1984) mendefinisikan usahawan sebagai individu yang menubuhkan perniagaan dan menguruskannya untuk mendapatkan untung dan untuk terus berkembang.

Secara kesimpulannya, boleh kita nyatakan bahawa usahawan adalah seorang yang mengambil risiko memulakan atau menubuhkan sesuatu perniagaan atau perusahaan dan mengusahakannya. Seseorang yang telah memulakan perniagaan atau telah membeli perniagaan yang dimulakan oleh orang lain juga dikenali sebagai usahawan. Usahawan juga adalah seorang pengurus yang menerajui perniagaannya dan dapat menuntut hak keempunyaan ke atas perniagaan tersebut. Oleh itu ia menanggung risiko perniagaan. Usahawan mempunyai wawasan dan mengembangkan perniagaan untuk kemakmuran masyarakat. Ia adalah seseorang yang inginkan kebebasan dalam perniagaan, membuat keputusan sendiri dan seterusnya ingin berjaya atas usaha sendiri.

No comments:

Post a Comment