Saturday, January 31, 2009

DAN INGATLAH KAMU!!!




"Barangsiapa yang mendahulukan Allah daripada urusan dunianya maka Allah akan mencukupkan keperluannya di dunia dan di akhirat".

keusahawanan dalam konteks Islam
Dalam Islam, bidang keusahawanan adalah satu bidang kerja yang penting dan dimuliakan. Dari aspek keusahawanan Islam, status kerja tidak menjadi ukuran, selama mana usaha yang dilakukan adalah dari usaha yang halal. Allah s.w.t telah menganjurkan perniagaan sebagai satu lapangan yang boleh diterokai seperti firman-Nya yang bermaksud:

"Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan ibadat haji). Kemudian apabila bertolak turun dari Padang Arafah (menuju ke Muzdalifah), maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih di tempat Masy'aril-haram (di Muzdakifah), dan ingatlah kepada Allah dengan Menyebut-Nya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepada kamu; walaupun, sebelum ini kamu adalah dari golongan orang yang sesat (tersalah jalan ibadatnya)."
(Surah al-Baqarah:198)


Ayat ini turun sewaktu wujud keraguan di kalangan umat Islam yang mengerjakan haji pada musim itu, sama ada mereka boleh berdagang pada musim haji. Dengan terjawabnya keraguan itu, maka musim haji itu sendiri adalah satu perhimpunan antarabangsa yang banyak memberi manfaat kepada umat Islam.

Firman Allah s.w.t itu begitu jelas meletakkan pernigaan sebagai satu kegiatan yang bukan sahaja halal, malah amat digalakkan. Beberapa hadis Nabi s.a.w juga menerangkan kelebihan orang yang berusaha sendiri. Antaranya (yang bermaksud):

"Sesungguhnya, seseorang yang membawa tali, lalu dia memikul seberkas kayu, lantas menjualnya, (dengan usaha itu Allah menjaga dirinya) adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang, baik mereka yang dipinta itu memberinya atau menghalangnya."
(Bukhari dan Muslim)


Sabda baginda lagi:
"Peniaga yang sangat benar dan amanah akan bersama para nabi, siddiqin dan para syuhada."
(Hakim dan Tirmizi)


Sebenarnya, generasi pertama Islam telah melahirkan ramai usahawan yang beriman yang turut memainkan peranan yang penting dalam penyebaran agama Allah. Kualiti, keperibadian dan etika keusahawanan pada sahabat-sahabat seperti Abdurrahman bin Auf, Zubair Ibnul Awwam, Talhah bin Ubaidilah dan Shuhaib bin Sinan amat tinggi. Kehebatan Abdurrahman bin Auf dalam pengendalian perdagangan dirakamkan dalam kisah terkenal ketika kota Madinah menjadi gempar dengan kedatangan kafilah perdagangan mengandungi 700 kenderaan kepunyaan beliau.

Keusahawanan adalah satu medan dakwah yang cukup penting dalam Islam. Islam amat menggalakkan umatnya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Kita juga sedar bahawa melalui hasil keusahawanan inilah, iaitu menerusi bidang perdagangan, Islam sampai ke Tanah Melayu.

Dalam Islam, usahawan Muslim perlu mempunyai nilai, etika dan keperibadian Islam untuk membezakan mereka dengan para usahawan lain. Antara ciri-ciri yang perlu ialah:

(i) Usahawan yang berusaha dan bekerja mencari rezeki yang halal bagi mendapat keredaan Allah. Mereka tidak mencari harta untuk memuaskan keperluan material semata-mata atau bertakbur atau untuk bermegah-megah dengan kekayaan atau meminta untuk dihormati;
(ii) Usahawan yang mengendalikan kerjanya berteraskan akidah Islamiah dengan menyerahkan segala usahanya di bawah peliharaan Allah serta dengan kepastian bahawa segala amalnya akan dihisab oleh Allah pada hari akhirat kelak;
(iii) Usahawan yang tidak dilalaikan oleh kerja-kerja daripada mengingatkan Allah dan menunaikan fardu ain;
(iv) Usahawan yang bersifat sabar, lapang dada dan tulen rasa dalam kerjanya;
(v) Usahawan yang aktif dan produktif, realistik, berprinsip serta menghayati budaya kerja berrencana serta berwawasan dengan wawasan Islam.

Selain daripada sifat-sifat yang dinyatakan sebelum ini, seseorang usahawan Muslim perlu memenuhi etika-etika berikut:
(i) Bersifat adil dan ihsan. Konsep adil merujuk kepada keseimbangan yang sempurna dan muamalat dengan menggelakkan diri daripada berurusan dengan barangan atau perkhidmatan yang haram, menjauhkan diri dari syubhat, menanam sifat jujur dalam jual beli, menjauhi riba, menjauhi penipuan dan menggelakkan diri daripada unsur-unsur perjudian;
(ii) Memiliki ilmu keusahawanan dan ilmu perdagangan dari perspektif Islam. Pengetahuan ini akan membolehkan beliau memahami antara urusan perniagaan yang hak dengan yang batil. Tanpa kelengkapan ilmu keusahawanan dan ilmu perniagaan Islam, seseorang usahawan Muslim, walaupun cuba bersikap adil dan ihsan, akan tercebur atau terperangkap dalam sistem perniagaan yang penuh dengan pelbagai liku dan cabaran;
(iii) Bermatlamatkan pekerjaan sebagai satu ibadah dan tanggungjawab dengan objektik-objektif berikut:
- bersederhana dalam kehidupan (tawaduk);
- menabung untuk keluarga dan untuk perkara-perkara luar jangka; dan
- memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan fisabilillah.

No comments:

Post a Comment